Jalan di pesisir Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak sepanjang satu kilometer akan dijadikan laluan sehala secara berkala bermula 16 Februari 2019.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Zamzuri Ariffin berkata, bagaimanapun ia masih di peringkat kajian dan percubaan sama ada ia boleh dilaksanakan secara menyeluruh mahupun tidak.
Katanya, untuk itu perlaksanaan berkala akan dilakukan setiap hujung minggu sahaja bermula dari 16 hingga 17 Februari, 23 hingga 24 Februari, 2 hingga 3 Mac dan 9 hingga 10 Mac ini.
“Laluan sehala itu akan bermula dari Zon A iaitu di pintu masuk pantai tersebut (berdekatan Balai Polis) dan akan dipisahkan melalui lima zon yang ditetapkan di kawasan terbabit.
“Lima lorong kecil yang memisahkan antara zon-zon tersebut turut dijadikan laluan sehala bagi memudahkan perjalanan keluar masuk ke pantai pelancongan berkenaan. Beberapa penguatkuasa turut diarahkan menjaga lalu lintas bagi memastikan trafik di situ berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi MelakaKini, semalam.
Mengulas lanjut, pihaknya turut merancang untuk membesarkan jalan berkenaan, namun ia belum dapat dilaksanakan berikutan masalah pengambilan tanah di pantai itu.
“Perkara ini berlarutan disebabkan tanah itu milik penduduk kawasan berkenaan dan sukar untuk di ambil alih.
“Kita akan lihat maklum balas orang ramai terhadap perlaksanaan ini kerana ia dilihat mampu mengatasi masalah lalu lintas di kawasan tersebut,” katanya.
Zamzuri berkata, melalui perancangan, MPAG juga akan membangunkan tapak perniagaan berpusat untuk peniaga kecil bagi mengelakkan mereka berniaga di bahu jalan yang juga menyumbang kepada kesesakan lalu lintas itu.
Kredit :
- Teks : Melakakini online
- Gambar : percutianbajet.com
0 Komen:
Catat Ulasan