‘Dondang Sayang Melaka’ diiktiraf sebagai The Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengiktirafan itu diumumkan pada Persidangan The Intergovernmental Committee for The Safeguarding of The Intangible Cultural Heritage Ke-13 di Swami Vivekananda International Convention Centre (SVICC), Port Louis Mauritius.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas berkata, pencalonan dondang sayang ke UNESCO dibuat pada 31 Mac 2017 untuk disenarai bagi kategori tersebut.
Menurutnya, ia dibahaskan oleh 24 Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dilantik bagi membincangkan isu-isu penting memelihara dan melindungi warisan hidup seluruh dunia.
“Delegasi kerajaan Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr. Zainah Ibrahim; manakala Melaka diwakili Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
“Beliau (Jailani) menerima pengiktiran tersebut dari UNESCO bagi pihak Negeri Melaka semasa konvensyen berlangsung bermula 26 November hingga 1 Disember 2018 ini,” katanya.
Khamis berkata, PERZIM sebagai organisasi yang diberi tanggungjawab memulihara warisan tidak ketara akan meneruskan usaha melestarikan irama dondang sayang ini dari semasa ke semasa.
“Tahun ini saja PERZIM mengadakan lebih 10 program persembahan dondang sayang di muzium-muzium terpilih bagi menghiburkan pengunjung.
“Program ini diadakan setiap bulan melibatkan penggiat-penggiat seni budaya Melaka selain Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) melalui peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia,” katanya.
0 Komen:
Catat Ulasan