Melaka United terus cemerlang dalam aksi ketiga Persahabatan Pramusim 2019 selepas berjaya membenam kelab Liga Singapura, Warriors FC 5-1 pada pertemuan di Stadium Hang Jebat, malam tadi (Rabu, 9 Januari 2019).
Pada perlawanan yang disaksikan lebih 5 ribu penyokong itu, penyerang import yang sedang diuji, Casagrande yang pertama kali diturunkan meletakkan Melaka di depan selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Safiq Rahim dari sebelah kanan pada minit ke-16.
10 minit kemudian MU menambah gol kedua menerusi rembatan padu S Deevan Raj dari luar kotak penalti.
Casagrande kemudiannya menambah gol ketiga MU apabila membuat rembatan voli bola sepakan penjuru Safiq Rahim dari sebelah kiri pada minit ke-35.
Luka Milunovic meletakkan Skuad Hang Tuah selesa di depan lima minit sebelum rehat separuh masa selepas menyempurnakan sepakan percuma menarik yang gagal diselamatkan penjaga gol Warriors.
Babak kedua menyaksikan Nurshamil Abd Ghani yang masuk menggantikan Casagrande berjaya memanfaatkan hantaran Shukor Adan dengan merembat masuk bola untuk gol ke-5 MU pada minit ke-54.
Warriors FC akhirnya berjaya mendapat gol saguhati menerusi kapten mereka, Sahil Suhaimi pada minit ke-84 untuk kedudukan 5-1 memihak kepada Melaka United.
Melaka United bakal meneruskan aksi Persahabatan Pramusim 2019 di Vietnam menentang tiga kelab di negara berkenaan dari 12 hingga 15 Januari ini.
Sumber : Melaka United Soccer Association (Facebook)
0 Komen:
Catat Ulasan