Melaka United meneruskan rentak kemenangan pada aksi kedua Persahabatan Pramusim 2019 selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat, malam tadi (Sabtu, 5 Januari 2019).
Beraksi di hadapan lebih 10 ribu penyokong sendiri, Melaka United terlebih dahulu di depan hasil jaringan pemain import yang masih dalam tempoh percubaan, Luka Milunovic pada minit ke-14. Gol berpunca daripada sepakan percuma yang diambil Safiq Rahim yang ditanduk masuk Milunovic.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan Melaka United terus menguasai perlawanan namun ketumpulan penyudah menyebabkan beberapa peluang tidak dapat disudahkan dengan jaringan. Sehingga pada minit ke-50 Melaka mendapat sepakan penalti selepas Ramzi Haziq dijatuhkan dalam kotak penalti. Safiq kemudiannya menyempurnakan penalti untuk kedudukan 2-0.
Melaka kemudiannya berusaha menambah gol menerusi beberapa gerakan namun sering dipatahkan pertahanan dan ketangkasan penjaga gol Skuad Hobin Jang Hobin. Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan untuk Skuad Hang Tuah lega melepasi ujian kedua sebelum saingan Liga Malaysia 2019 membuka tirainya Februari depan.
* Sumber : Melaka United Soccer Association (Facebook)
0 Komen:
Catat Ulasan